I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, April 30, 2011

Cinta Buat Ibuku...


alt
Menyayangimu
Bagaikan hatiku tiada sempadan
Aliran jiwaku mengalir bersama arus sungai cinta
Ditempuh kerikil batu-batu tanpa sesak dan kesusahan
Oh sungguh indahnya perasaan itu,
Mengasihimu ibuku,
Meluaskan kecilnya ruang hatiku
Menyegarkan lesunya jiwaku
Menegangkan uratku yang kian melemah
Dek keringnya dari siraman cintamu
Andaikata aku dapat bernyanyi
Burung merak pasti mahu mendedangkannya bersamaku
Menceritakan keceriaan dihatiku di saat aku bersamamu
Walaupun cuma seketika..
Tetapi kebahagiaannya terasa hingga mencapai penjuru langit sejagat
Indahnya kasih itu
Apabila ia menjadi dinamo kepada semangat
Dan penyuntik ilham
Serta penerang obor cahaya
Kepada berlikunya jalanku ini...

Wednesday, April 13, 2011

Khadijah Srikandi Kesayangan Rasulullah...


alt
Kepulangan suaminya dari Gua Hira' selepas menerima wahyu pertama, telah menimbulkan tanda tanya di hati Siti Khadijah r.a.. Segala yang diceritakan oleh suaminya mengenai pengalaman didatangi Malaikat Jibril, adalah rahsia besar yang tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Sikap Khadijah ini memberi input yang baik kepada muslimat terutama yang bergelar isteri. Kadangkala kita dapati isteri-isteri tidak menjaga akhlak mereka dengan sibuk menceritakan hal keluarga termasuk bersifat peribadi dan rahsia.
Siti Khadijah meminta izin kepada suaminya untuk mengajukan persoalan kepada sepupunya iaitu Warkah bin Naufal. Orang yang dipilih oleh Siti Khadijah bukanlah sebarangan orang, Warkah seorang yang alim dan berpegang pada ajaran tauhid. Pengajaran di sini dalam menceritakan masalah atau mengajukan permasalahan kita untuk diselesaikan adalah dengan memilih orang yang sesuai. Kadangkala wanita menceritakan masalah mereka bukan untuk mengurang atau mencari penyelsaian terbaik, tetapi sekadar untuk melepaskan geram. Akibatnya, suami kadangkala tahu keburukannya diceritakan oleh sang isteri kepada orang lain (disampaikan). Ini boleh memburukkan lagi keadaan antara suami isteri yang bermasalah tadi.
Khadijah dilihat sebagai seorang muslimah yang bijaksana dengan menceritakan peristiwa Nabi bersama Jibrail hanya kepada orang yang layak dan bukan sebarangan orang. Antara sifat atau akhlak terpuji yang dapat diikuti oleh muslimat dari Siti Khadijah adalah:
  1. Bersifat tenang dan boleh menenangkan orang lain.
  2. Tidak terburu-buru dan panik.
  3. Tidak mudah mempercayai orang lain dalam menceritakan hal yang bersifat rahsia.
  4. Pandai memilih orang untuk diadu permasalahan.
  5. Bersifat amanah,lembut dan berhikmah.
  6. Meminta kebenaran dari suami hatta untuk perkara kebaikan.
  7. Sabar dalam menghadapi permasalahan suami.

Menjejaki Jejak  Khadijah
Tatkala Nabi SAW mengalami rintangan dan gangguan daripada kaum lelaki Quraisy, maka di sampingnya berdiri dua orang wanita, iaitu Khadijah bin Khuwailid dan Fatimah binti Asad. Kedua wanita itu berdiri di belakang dakwah Islamiah, mendukung dan bekerja keras dalam menyampaikan Islam. Oleh disebabkan itu, Khadijah berhak menjadi wanita terbaik di dunia. Dia adalah Ummul Mukminin, sebaik-baik isteri dan teladan yang baik bagi mereka yang mengikuti teladannya.
Khadijah menyiapkan sebuah rumah yang nyaman bagi Nabi SAW sebelum beliau diangkat menjadi Nabi dan membantunya ketika merenung di Gua Hira'. Khadijah adalah wanita pertama yang beriman kepadanya ketika Nabi SAW berdoa (memohon) kepada Allah. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolong dengan jiwa, harta dan keluarga. 
Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang lain tidak memberiku apa-apa."
Kenapa kita bersusah payah mencari teladan di sana-sini, walhal di hadapan kita ada wanita terbaik di dunia, Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan pendiriannya serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada Allah, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga.
Maka Allah SWT membalas jasanya terhadap agama dan nabi-Nya dengan sebaik-baik balasan dan memberinya kesenangan dan kenikmatan di dalam istananya, sebagaimana yang diceritakan Nabi SAW, kepadanya pada masa hidupnya.
Ketika Jibril A.S. datang kepada Nabi SAW, dia berkata : "Wahai Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Allah dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang  tidak ada kepayahan.

(Hadis riwayat Bukhari dalam Fadhaail Ashhaabin Nabi SAW. Imam Adz-Dzahabi berkata, "Keshahihannya telah disepakati.")

Khadijah r.a. membawa panji bersama Rasulullah SAW sejak saat pertama, berjihad dan bekerja keras. Dia menghabiskan kekayaannya dan memusuhi kaumnya. Dia berdiri di belakang  suami dan nabinya hingga nafas terakhir, dan patut menjadi teladan tertinggi bagi para wanita.
Sesungguhnya ia adalah kedudukan yang tidak diperoleh seorang pun di antara para sahabat yang terdahulu dan pertama masuk Islam serta Khulafa' Rasyidin. Hal itu disebabkan sikap Khadijah r.a. pada saat  pertama lebih agung dan lebih besar daripada semua sikap yang mendukung dakwah selepas itu. Sesungguhnya Khadijah r.a. merupakan nikmat Allah
yang besar bagi Rasulullah SAW. Khadijah mendampingi Nabi SAW selama  seperempat abad, berbuat baik kepadanya di saat beliau gelisah, menolongnya di waktu yang susah, membantunya dalam menyampaikan al-Quran, ikut serta merasakan penderitaan yang pahit pada saat jihad dan menolongnya dengan jiwa dan hartanya.

Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118.)

Sehingga di akhir hayatnya apabila baginda bertanya, "Apakah harta yang masih ada pada dirimu wahai isteriku untuk perjuangan Islam ini?" Khadijah berkata, "Tiada apa-apa lagi, jika tubuhku dan tulang-tulangku boleh dimanfaatkan untuk perjuangan Islam gunakanlah."Subhanallah... sungguh hebat perjuangan para sahabat baginda dan Ummul Mukminin untuk memperjuangankan  Islam. Adakah kita sanggup berkorban seperti mereka pada masa kini?Renung-renungkan...

Sunday, April 3, 2011

Sabar Itu Perlu Setiap Masa...


Sabar... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.
Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.
Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.
Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.
Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.
Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.
Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.
Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.
Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang lain tidak mencari salah kita.  Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat...

Saturday, April 2, 2011

Mintalah Pertolongan Allah s.w.t...


Mintalah Dengan Bersungguh-sungguh
Setiap manusia tidak lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Bila kita merasakan tidak ada tempat mengadu, hilang arah tujuan, ingatlah sesungguhnya tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah.
Kembalilah kepada Allah, berserahlah sepenuhnya kepada Allah. Yakin lah Dia tidak pernah meninggalkan kita sendirian. Suburkanlah iman di hati dan selalu menginsafi diri. Sesungguhnya setiap ujian itu adalah pembuka jalan untuk kembali kepada Allah. Inilah caranya Allah menuntun kita agar tidak jauh daripadaNya.
Mintalah pertolongan daripadaNya dengan menggandakan kuasa sabar dan memperbanyakkan solat. Perteguhkan tawakkal dan redha dengan takdirNya. Kembalilah kepada Allah dengan memilih jalan kehambaan. InsyaAllah di situ akan ada tempat bagi melabuhkan jiwa yang kepenatan.
Alangkah indahnya hidup sekiranya sentiasa dalam Rahmat dan Redha Allah Swt, lagi terlebih indah andai sentiasa mendapat pertolongan Allah Swt...