I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, December 20, 2011

Belajar : Bagaimana Mendapatkan Keberkatan...


Mungkin jarang antara kita yang tidak tahu tips-tips belajar daripada 'salafus soleh' terdahulu. Semua tahu bukan apa itu berkat?
Sesuatu yang tidak boleh dilihat, tetapi dengan berkat itu, kita boleh berasa tenang dan bahagia sentiasa walaupun separuh dunia berada di bahu kita.
TIPS BELAJAR
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.
Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.
Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.
2) Disiplinkan diri.
Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.
Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.
Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.
3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.
Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.
Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.
4) Utamakan seruan Allah S.W.T.
Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:
"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."
Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.
5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.

Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.
.............................................................
Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T.Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).
Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.
Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.

Friday, December 9, 2011

Cantik Dipandang...


"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]
Rama-Rama Halus Sayapnya
Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.
Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.
Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.
Indah Ibarat Wanita.
Wanita adalah hiasan dunia. Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk dilihat, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari atau menyentuhi tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.
Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.
Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.
Wanita Yang Lebih Baik Dari Bidadari
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin."Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu? Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..." (Hadis Riwayat al-Tabrani)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)

Friday, November 18, 2011

15 Ciri Wanita Syurga


1. Bertakwa.
2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.
3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.
4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.
5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.
6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.
7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.
8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.
9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.
10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.
 
11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).
13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.
14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.
15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

Saturday, August 6, 2011

Ramadhan Bulan Hidayah...




Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah S.W.T, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." - [al-Baqarah: 183]
Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga
Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Taqwa Dan Hidayah
Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah S.W.T. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." [al-Fatihah, ayat 6]
Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari
Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah S.W.T berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah S.W.T. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. 
"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." [Surah al-Fatihah, ayat 7]
Siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah S.W.T :
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." [Surah an-Nisa', ayat 69]
Semarakkan Ramadhan Dengan al-Quran
Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.
Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah S.W.T untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah S.W.T.
Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.
Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di Akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah S.W.T kelak.
Apabila al-Quran Diketepikan
Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.
Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union, ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.
Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.
Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.
Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.
Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.
Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibu bapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-Allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu
.

Saturday, July 23, 2011

Muhasabah Jiwaku...




alt
Termenung aku mengimbau masa lalu,
Mengamati rentetan kehidupan,
Mencari secangkir sinar keluhuran,
Buat bekalan di akhir penantian masa.
Menapak aku di bumi-Mu ini dengan penuh leka,
Lalai aku dalam menunaikan tanggungjawab,
Aku cuba bertahan di pasak kesabaran,
Tetapi rapuh dihempas taufan kehancuran.
Setiap detik yang mendatang menyentap benakku,
Mampukah aku meneruskan perjalanan,
Meredah belukar kebal duniawi,
Agar aku bertahan sehingga ke laluan kemanisan ukhrawi.
Ya Allah yang Maha Mendengar,
Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu,
Pandulah aku yang masih buta di dalam cahaya,
Masih teraba-raba di laluan yang rata.
Ampunkanlah segala dosaku Ya Rabbi,
Hanya Engkaulah yang Maha Pengampun,
Kurniakan aku kemanisan Cinta-Mu,
Agar aku diizinkan mencium haruman syurga-Mu.